Pages


KEPADA YANG INGIN MENYERTAI KOMUNITI BLOGGER JOHOR BAHRU, SILA TINGGALKAN LINK DI SHOTBOX. SEKIAN TERIMA KASIH

Followers

Permainan Sepak Raga


Permainan Sepak Raga

Permainan sepak raga wujud sejak 600 tahun lalu. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, selain dimainkan oleh golongan bangsawan, rakyat jelata juga menggemari permainan ini. Dalam sejarah Melayu menceritakan tentang Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar.

Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis.

Cara Bermain

Dalam permainan sepak raga, beberapa pemain berdiri dan membentuk satu bulatan. Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan.

Menimang Bola

Permainan ini memerlukan ketangkasan dan kecekapan fizikal serta ketajaman mata untuk mengukur pergerakan. Matlamat setiap pemain ialah memantapkan kemahiran menerima hantaran bola raga dan menimangnya dengan selesa selama yang mungkin. Jangka masa permainan tidak ditentukan kecuali dalam pertandingan yang lazimnya dianjurkan sebagai acara berpasukan. Pasukan yang berjaya membuat timangan paling banyak dalam suatu tempoh yang ditetapkan, dikira menang.

Pada masa ini sepak raga tiada lagi dimainkan, ianya telah ditukar dengan nama kepada sepak takraw. Sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan oleh jaring, seperti dalam permainan badminton. Pasukan sepak takraw terdiri daripada tiga pemain. Tekong melakukan sepak mula dan mengawal bahagian belakang gelanggang. Apit kiri dan apit kanan mengawal bahagian hadapan gelanggang dan memikul tugas utama mematikan bola di gelanggang lawan.

Tarian Cerecap Inai

Tarian Cerecap Inai

Tarian Ceracap Inai merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional yang terkenal terutamanya di Johor.

Tarian Ceracap Inai ini dikaitkan dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, semasa baginda mudik ke hulu Sungai Muar. Tarian Ceracap Inai ini dikatakan berasal dari tarian istana dan ditarikan di hadapan Sultan dan Pembesar-pembesar negeri di dalam sesuatu keramaian. Oleh kerana itu, Tarian Ceracap Inai ada unsur-unsur 'menyembah duli' (sembah/ampun), merendahkan diri dan ditarikan pula kebiasaannya di hadapan 'Raja Sehari'/Pengantin.

Tarian Ceracap Inai dipersembahkan dengan hiasan seperti 'Bunga-bungaan Emas' dan bercahayakan api lilin yang memberikan erti membawa kepada sinaran kebahagiaan dan kesejahteraan. Tarian ini asalnya ditarikan oleh bilangan penari yang ganjil atau ditarikan berpasangan oleh penari lelaki dan wanita dan boleh juga ditarikan oleh penari-penari wanita sahaja, Bilangan penari biasanya terdiri dari 5 - 8 orang. Tarian ini amat terkenal di Kampung Baru Lenga, Batu 28, Lenga di Daerah Muar.

Tarian Sarah

Tarian Sarah

Tarian Sarah merupakan sejenis tarian rakyat Melayu traditional. Tarian Sarah mempunyai irama muzik padang pasir yang rancak yang mewakili riang gembira. Tarian ini terkenal di kalangan Masyarakat Johor yang berketurunan Arab di Daerah-daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar.

Di Johor, tarian ini kebiasaannya ditarikan oleh pasangan lelaki sahaja. Mereka menari beriringan dengan gerakan yang sama dan dalam satu tempo lagu berirama Samrah, pasangan penari dapat menari secara bergantian dan ini membolehkan pasangan pertama tadi berehat dan diganti dengan pasangan berikutnya dan demikianlah seterusnya. (Tarian ini boleh juga ditarikan oleh penari wanita tetapi di ruang yang berasingan dan tertutup dan dikhaskan untuk penonton wanita sahaja). Tarian ini juga ditarikan di majlis-majlis keraian dan di majlis-majlis kekeluargaan seperti majlis kesyukuran dan perkahwinan. Tarian ini juga ada kalanya berlarutan hingga jauh malam.

Tarian Ceracap Inai


Tarian Ceracap Inai

Tarian ini ada hubungannya dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, semasa baginda mudik ke hulu Sungai Muar. Tarian ini terkenal di Kampung Baru Lenga, Batu 28, Lenga di Daerah Muar.

Adalah dipercayai Tarian Ceracap Inai ini berasal dari tarian istana dan ditarikan di hadapan Sultan dan Pembesar-pembesar negeri di dalam sesuatu keramaian.Oleh kerana itu, Tarian Ceracap Inai ada unsur-unsur ‘sembah’/Ampun, merendahkan diri dan ditarikan pula kebiasaannya di hadapan ‘Raja Sehari’/Pengantin. Ditarikan dengan membawa prob seperti ‘Bunga-bungaan Emas’ dan bercahayakan api lilin yang memberikan erti membawa kepada sinaran kebahagiaan dan kesejahteraan. Tarian ini asalnya ditarikan oleh bilangan penari yang ganjil atau ditarikan berpasangan oleh penari lelaki dan wanita dan boleh juga ditarikan oleh penari-penari wanita sahaja, Bilangan penari biasanya terdiri dari 5 - 8 orang.

Tarian Kuda Kepang


Tarian Kuda Kepang

Kuda kepang merupakan satu permainan tradisi yang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya yang berketurunan Jawa. Kuda kepang berupa satu patung anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang dicorakwarnakan untuk menjadi lebih menarik.

Lazimnya satu kumpulan kuda kepang mempunyai 10 hingga 15 orang penari. Salah seorang daripada mereka bertindak sebagai ketua (dayang). Pada peringkat awalnya, semua gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal permainan. Tarian ini biasanya dipertunjukkan di majlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang-orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan. Terdapat berbagai pendapat mengenai asal usul tarian ini.

Ada pendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa,Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Dalam peralihan waktu, kuda-kuda itu ditukar dengan kulit binatang atau buluh bagi menggantikan kuda sebenar.Ada pula yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali. Untuk meniru gerak langkah bala tentera Saidina Ali maka lahirlah tarian kuda kepang.

Pendapat lain pula menghubungkan asal usulnya dengan alam kayangan. Seekor kuda kayangan bernama Kuda Sembrani dikatakan turun di Jawa untuk mencari kawannya yang hilang. Setelah berjumpa mereka menari-nari keseronokan. Menurut kepercayaan, kuda kepang dikuasai oleh sejenis kuasa ghaib. Lantaran itu, satu upacara khas perlu dilakukan sebelum bermain. Jika ia gagal dilakukan mungkin sesuatu yang tidak diingini akan menimpa para pemain dan juga penontonnya. Upacara ini bermula dengan istiadat memuja roh. Setelah itu bomoh akan menjampi untuk istiadat membuka gelanggang yang biasanya berukuran 40m x 60m.

Bomoh juga akan menyediakan sajian untuk penunggu. Sajian itu ialah kelapa, beras, pisang masak, kemenyan, kain putih, jarum, benang, ayam putih, padi, telur dan bunga rampai. Bilangan minima penari ialah sembilan orang dan maksimanya 15 orang. Penari-penari ini biasanya terdiri daripada kaum lelaki sahaja. Tarian dicipta oleh guru yang mengajar kumpulan itu sendiri. Tarian-tarian yang selalu dipersembahkan ialah tarian Sola, Selendang,Pak Tani, Pucuk Rebung, Perjuangan, Mempertahankan Diri dan sebagainya. Lenggang-lenggok di dalam tarian ini dinamakan Lenggang Kiprah.

Satu perkara yang menarik di dalam tarian ini ialah kerana seringnya terdapat beberapa orang penari akan naik syeikh (mabuk) setelah persembahan rasmi tamat. Mereka yang “naik syeikh” ini boleh melakukan gerak geri aneh yang pasti tidak dapat dilakukan dalam keadaan siuman. Umpamanya, melompat setinggi enam atau tujuh kaki, meniti diatas sebatang buluh atau kayu licin ataupun seutas tali, juga mengupas kelapa dengan gigi. Semasa penari-penari sedang “naik syeikh” , bunyi-bunyian pengiring penari akan terus dimainkan. Jikalau tidak mereka naik berang dan menerkam pemain-pemain bunyi-bunyian tersebut.

Apabila gerak langkah penari-penari itu semakin liar dan tidak dapat dikawal, bomoh akan membaca mentera ke ubun-ubun atau telinga mereka setelah mereka ditangkap dan direbahkan oleh pegawal-pegawal yang cekap.Setelah itu mereka akan pulih dalam keadaan letih lesu. Adalah dipercayai bahawa selain dari hiburan, tarian kuda kepang juga boleh digunakan untuk menyembuhkan penyakit ganjil seperti dirasuk hantu,diresapi roh orang mati dan sebagainya.

Dipercayai juga bahawa kuda kepang ini hendaklah diletakkan disuatu tempat khusus.Jika diletakkan di sembarangan tempat roh kuda kepang itu akan mengamuk dan merosakkan pertunjukan-pertunjukan yang akan datang. Alat bunyi-bunyian yang sering mengiringi tarian kuda kepang ialah angklong (alat utama), gendang, gong ( berbentuk bulat dan diperbuat dari gangsa), kinong (seperti gong tetapi lebih kecil), jidor ( seperti rebana besar), soron kecil (dibuat dari tembaga yang dititik supaya melengkung dan lekuk seperti ruas buluh) dan bonang (dibuat dari tembaga,ditengahnya bonjol bulat kira-kira lapan garis pusat). Bagaimanapun tidak semua alat ini digunakan dalam satu-satu tarian. Pemilihannya terletak kepada budi bicara kumpulan-kumpulan berkenaan .Bentuk pakaiannya pula terserah kepada kehendak kumpulan tetapi ia hendaklah seragam.

Tarian Barongan

Barongan menggambarkan kisah-kisah di zaman Nabi Allah Sulaiman dengan binatang-binatang yang boleh bercakap. Kononnya, seekor harimau telah terlihat seekor burung merak yang sedang mengembangkan ekornya. Apabila terpandang harimau, merak pun melompat di atas kepala harimau dan keduanya terus menari. Tiba-tiba Pamong (Juru Iring) bernama Garong yang mengiringi Puteri Raja yang sedang menunggang kuda lalu di kawasan itu. Pamong lalu turun dari kudanya dan menari bersama-sama binatang tadi. Tarian ini terus diamalkan dan boleh dilihat terutamanya di daerah Batu Pahat, Johor.

Asal usul Kota Tinggi

Kota Tinggi

Kota Tinggi mengambil nama daripada kota yang dibina di atas kawasan tinggi di tebing Sungai Johor. Pembinaan kota tersebut untuk menangkis serangan Portugis yang berusaha hendak melenyapkan kuasa Kesultanan Melayu yang telah dialahkannya di Melaka pada tahun 1511.

Oleh Kerana Sungai Johor adalah kawasan yang selamat untuk berteduh dari gelora Laut Cina Selatan , ia telah menjadi tumpuan para pedagang sejak zaman silam lagi. Zaman Ptolemy kawasan tersebut dikenali dengan nama Palanda. Banyak tinggalan lama seperti manik dan permata dari zaman Han (SM200 - TM20) dan zaman Empayar Rom pernah ditemui di Kota Tinggi.

Asal usul Pontian

Pontian

Perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’. Perhentian yang dimaksudkan itu ialah Sungai Pontian Besar, tempat berteduh dari gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, kuala Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah tangkapannya, sementara Pontian Kecil menjadi Bandar utama bagi daerah Pontian.

Bandar Pontian
Kawasan Bandar Pontian adalah meliputi kawasan yang dahulunya ditadbirkan oleh Majlis Bandaran yang meliputi keluasan satu batu persegi dan semasa penyusunan semula dijalankan dalam tahun 1977, kawasan tadbirannya telah diperluaskan ke kawasan sekitarnya yang telah dibangunkan dengan projek perumahan menjadikan keseluruhan keluasan pentadbiran Bandar Pontian ialah 388.8 hektar. Pada hari ini terdapat kira-kira 2,403 pegangan harta dan 6792 unit bangunan dalam Bandar Pontian yang dikenakan Cukai Harta. Penduduk Bandar Pontian dalam tahun 1988 adalah dianggarkan berjumlah 26,400 orang.

Asal Usul Segamat

Segamat

Nama Segamat berasal dari ungkapan kata ‘segera amat’ atau ‘segar amat’. Kata-kata itu lahir dari mulut Bendahara Tepok dalam pelariannya ke hulu Sungai Muar setelah Melaka ditawan Portugis.

Bendahara Tepok yang mengalami penyakit lumpuh terpaksa diusung ke perahu. Ketika sampai ke Lubuk Batu, menurut beliau, segera amat sampainya angkatan pengiring-pengiringnya ke tempat yang selamat, jauh dari ancaman Portugis.

Oleh kerana pada hari itu cuaca agak panas, Bendaraha Tepok pun mandilah di situ. Kata Bendahara Tepok setelah mandi, “Segar amat rasa badan ini” kata-kata Bendahara Tepok ini menjadi sebutan ramai pengikutnya hingga kemudiannya menamakan petempatan yang mereka duduki dengan nama Segamat.

Asal usul Kluang


Kluang

Bandar Kluang mengambil nama Keluang Kampung. Keluang sejenis kelawar besar pemakan buah. Ia memakan bunga durian dan buah-buahan seperti rambutan, rambai dan lain-lain. Penduduk kampung tersebut berjaya membunuh tupai yang datang ke dusun mereka, tetapi gagal menakutkan keluang yang begitu banyak setiap petang datang ke situ. Keluang yang banyak itu dikatakan datang dari sebuah bukit di belakang kampung mereka (bukit yang dimaksudkan mungkin Gunung Lambak). Akhirnya seorang pawang terpaksa mengadakan suatu upacara di bukit tersebut untuk memujuk keluang-keluang itu agar tidak datang ke dusun penduduk kampung tersebut.

Asal usul Tangkak


Tangkak

Nama Tangkak timbul daripada ‘tang merangkak’. ‘tang’ berasal dari perkataan tentang yakni tempat. Peristiwa itu berlaku ketika peneroka kawasan Tangkak, Long Mahmud tujuh bersaudara terpaksa merangkak naik ke tebing Sungai Tangkak menuju ke Bukit Tambak di kawasan Seri Makmur. Tebing-tebing sungai di kawasan Tangkak adalah lembut dan jerlus kerana paya ditumbuhi pokok-pokok resam, sendayan, pakis dan rembia.

Asal Usul Mersing

Mersing mendapat nama daripada peristiwa penahanan buang daerah seorang pesuruh Sultan Pahang berbangsa Sikh, kerana melakukan kesalahan yang berat. Penahanan ini berlaku sewaktu Mersing belum ramai penduduk. Pekerja tersebut bernama Amer Singh, dan namanya menjadi terkenal di kawasan tersebut hingga menyebabkan tempat itu dikenali dengan nama Mersing.

Cerita lain yang membawa munculnya nama Mersing ialah dari peristiwa seorang dara bernama Mersing mencintai teruna perantau dari Pahang bernama Awang. Oleh kerana Mersing diminati oleh anak penghulu, bapa Mersing memilih anak Penghulu bakal menantunya.

Untuk memisahkan di antara Mersing dengan Awang, timbullah fitnah. Tetapi Awang berjaya membuktikan kesuciannya dengan menghapuskan fitnah tersebut. Akhirnya bapa Mersing bersetuju menerima Awang menjadi suami anaknya. Namun Awang tetap keras hati lalu meninggalkan keluarga Mersing dan penduduk di situ dalam keadaan menyesal. Dari nama dari itu lahirnya nama Mersing dan didendangkan kisahnya dalam lagu Seri Mersing.

Asal Usul Muar

Muar lahir daripada perkataan ‘muara’ iaitu kuala sungai. Ini disebabkan oleh penempatan awal di kawasan tersebut terletak di muara Sungai Muar. Sungai Muar terkenal sejak zaman silam kerana sungainya yang lebar membolehkan para pelayar berlindung di musim gelora. Pelarian Raja Iskandar Syah (Parameswara) dari Singapura setelah dialahkan Majapahit pada awal abad ke-15 menggunakan sungai ini. Demikian pula apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, raja dan para pembesar Melaka melarikan diri melalui Sungai Muar.

Versi lain mengenai kewujudan nama tersebut ialah daripada perkataan ‘muak’ (jemu dan ‘mu-aru’ (Bahasa Tamil) bermaksud tiga sungai.

Bandar Maharani yang menjadi pusat bandar utama daerah Muar mendapat nama sempena nama Permaisuri Maharaja Abu Bakar pada 12 Ogos 1887. Oleh kerana pada masa itu Sultan Abu Bakar masih memakai gelaran Maharaja, permaisuri baginda memakai gelaran Maharani. Bandar itu dinamakan atas nama permaisuri yang megiringi Baginda dalam upacara perasmian bandar itu, Maharani Fatimah.

Asal Usul Batu Pahat

Nama Batu Pahat dikatakan dari peristiwa memahat batu untuk mendapat bekalan air tawar di pantai Minyak Beku yang terletak di Kuala Sungai Batu, Batu Pahat. Kerja ini dilakukan oleh angkatan tentera Siam (Orang-orang Muslim Pattani Siam ) di bawah pimpinan Awi Dicu dalam abad ke-15 sewaktu hendak menyerang Melaka.
Kesan pahatan tersebut masih terdapat hingga sekarang. Kesan ini dikenali sebagai Perigi Siam atau Perigi Batu Pahat. Pusat bandar bagi daerah Batu Pahat ialah Bandar Penggaram.
Nama Penggaram itu dikatakan berasal daripada ‘pangkal jeram’, kerana terdapat jeram di sebuah sungai kecil yang mengalir dari bukit belakang bandar tersebut.

Makam DiRaja Johor

Info

Makam Di Raja Johor yang terletak di Jalan Mahmoodiah menempatkan makam-makam Sultan dan Kerabat Di Raja Johor. Perasekitaran yang bersih dan dihiasi pokok menjadikan makam ini kelihatan tenang dan damai. Rekabentuk makam ini juga kelihatan unik dan menarik. Para pengunjung dibenarkan untuk datang melihat makam ini.


Rabiulawal Dan Maulidur Rasul

Maulidur Rasul yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571M merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W.. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah S.W.T.. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai
Maulid Nabi.
Kini, di tempat kelahiran Baginda Rasullullah itu terbinanya sebuah bangunan 2 tingkat yang dijadikan sebuah perpustakaan (pusat sumber)dengan nama “Maktabah Makkah Al-Mukarramah”
Perpustakaan ini menempatkan banyak buku-buku ilmiah yang kebanyakannya terdiri dari jenis buku dan kitab-kitab agama Islam.


Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad S.A.W., kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.
Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah S.W.T. terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah S.W.T. akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah S.W.T..
Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.


Hukum Sambutan Maulidur Rasul

Upacara sambutan Maulidur Rasul adalah harus selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur pembaziran dan tiada aktiviti yang melanggar syariat. Malah jika perisian sambutan itu ada unsur ilmu dan ibadah ia tetap diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wa Taala.

Adalah tidak tepat pendapat yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul adalah bid’ah dhalalah dan bertentangan dengan syariat.

Upacara memperingati hari kelahiran Rasulullah saw ini telah dilakukan sejak 300 tahun sesudah Rasulullah wafat.


RABIULAWAL

Pengertian


Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah.

Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.


Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Rabiul Awal


Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;

1. Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah. Perbezaan pendapat ini akan disentuh lebih lanjut di bahagian Maulidur Rasul.


2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Dibulan Rabiulawal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.


3. Hijrah Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba’ pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.


4. Peperangan Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.


5. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.


6. Abu Bakar ra. menjadi khalifah Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai’ah saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani Sa’idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra Ahli Bait Rasulullah saw.


7. Pembukaan Iraq Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.


8. Pembukaan Baitul Muqaddis Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.


9. Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.


Fadhilat Bulan Rabiul Awal

Bulan Rabiulawal adalah seperti bulan-bulan Islam yang lain maka amalan sunat di bulan Rabiulawal adalah sama seperti amalan sunat di bulan-bulan yang lain.

Kita dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan fardu dan sunat tanpa mengira di bulan manapun di sepanjang tahun.

Amalan-amalan kita itu akan menjadi bekalan untuk kita meneruskan perjalanan ke padang mahsyar esok. Masjidil Haram di Makkatul Mukarramah.

Selain dari itu, kualiti ibadah juga adalah diambil kira. Niat dan keikhlasan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam menentukan nilai ibadah kita. Diantara syarat sesuatu ibadah itu diterima ialah niat.

Niat itu akan menggambarkan keikhlasan kita.Kerja yang ikhlas akan membawa kepada kesempurnaan dan kesempurnaan akan membawa kepada kepuasan dan kepuasan akan membawa kepada ketenangan.

Moga kita sama-sama dapat meningkatkan amalan ibadat kita agar kita mempunyai bekalan untuk dibawa ke kampung Akhirat esok, InsyaAllah.

(Sumber: Al-Azim.com, ms.wikipedia.org

TARIAN ZAPIN

Salah satu bentuk tarian pergaulan masyarakat Melayu yang masih utuh dan popular dewasa ini ialah tari zapin. Dari perspektif sejarah perkembangannya tarian zapin telah menular luas di kalangan penggemar senitari di Malaysia ini telah mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan ragamnya yang ternyata lebih tradisional sifatnya. Namun demikian banyak antara genre zapin tradisional ini tersebar hanya ke daerah-daerah tertentu sahaja dan salah satu daripada genre zapin tradisional yang dinamik dan anggun dikatakan masih terdapat di negeri Johor.

Di Johor zapin yang dikenali dalam dua bentuk iaitu Zapin Melayu dan Zapin Arab memperlihatkan perbezaaan dari segi unsur peradaptasiannya. Pada realiti kedua-duanya genre zapin itu berasal dari satu keseniaan masyarakat Arab yang di bawa Hadramaut. Keunikan tradisi Zapin Melayu terletak bukan sahaja pada kesatuan muzik dan peralatannya yang dipengaruhi oleh keseniaan Arab bahkan juga pada sifat segretasi penari dan penonton. Dalam konteks inilah keunikan tarian zapin begitu terserlah terutamanya pada ciri penghubungannya dengan keseniaan Islam yang dibawa oleh orang-orang Arab. Di Johor Tarian Zapin yang sudah diterima sebagai seni yang berunsur Islam yang berfungsi sebagai hiburan sama ada pada acara-acara sekular mahupun acara sambutan hari-hari kebesaran. Namun dari segi kelembutan dan kehalusan tradisi tarian itu sendiri, Zapin Melayu Johor walaupun ianya lahir dari adaptasi yang dilakukan ke atas Zapin Arab secara selektif namun tidak dapat disangkal lagi tarian zapin ini memperlihatkan lebih kehalusan dan keayuan geraknya dari Tarian Zapin Arab.


Satu hal yang menarik mengenai tarian Zapin Johor ialah keupayaan mewujudkan rasa persaudaraan penari dan pemuzik serta sifat esprik decorps yang dapat dimunculkan di kalangan mereka sekali gus mematahkan rasa malu penari-penari apabila menari di khalayak ramai. Secara simbolik gerak tari zapin ini menampakkan kepentingan usaha bersama dan bukannya usaha individu disamping meminggirkan persaingan antara pemain-pemain dalam kumpulan mahupun antara kumpulan, Ditinjau dari perspektif inilah, keunikan dan keistimewaan tarian Zapin Johor terserlah.

Galeri Seni Johor

Info

Galeri Seni Johor pada asalnya merupakan sebuah kediaman yang dibina pada tahun 1910 dan dikenali sebagai Bangunan Dato’ Abdullah Jaafar. Kediaman ini pernah menjadi kediaman rasmi Dato’ Abdullah Jaafar iaitu Menteri Besar Johor ketiga.

Oleh kerana ciri-ciri seni binanya yang menarik, bangunan ini telah dipilih untuk dijadikan sebagai Galeri Seni Johor dan dirasmikan pada 29 Januari 1994 oleh Menteri Besar Johor pada masa itu. Pada ketika itu, galeri ini menjadi tempat pengumpulan dan pameran artifak bersejarah terutamanya yang berkaitan dengan seni dan budaya negeri Johor secara bersepadu. Galeri ini menerima kunjungan yang menggalakkan daripada pelawat-pelawat dalam dan luar negara.

Kerja-kerja menaik taraf bangunan ini dimulakan pada tahun 2000. Pada tahun 2003 cadangan telah dibuat untuk menjadikan galeri ini sebagai Galeri Seni Lukis sepenuhnya dan berfungsi sebagai pusat pendidikan, pengumpulan, peragaan, pendokumentasian, rujukan serta tempat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti seni lukis. Galeri Seni Johor dibuka semula kepada orang ramai pada 6 Mei 2003. Upacara perasmiannya dilakukan oleh Y.A.B Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor.

Waktu Lawatan
Hari Ahad – Sabtu: 9.00 am ~ 4.30 pm

Muzium DiRaja Sultan Abu Bakar

Info

Muzium Diraja Sultan Abu Bakar pada asalnya merupakan Istana Besar, tempat bersemayam Bapa Pemodenan Johor, Sultan Abu Bakar. Muzium ini telah mula dibina pada tahun 1864 dan siap sepenuhnya pada 1866. Rekabentuk yang menggabungkan senibina Melayu dan Inggris ini diilhamkan oleh Datuk Yahaya Awaluddin. Sesungguhnya, Duke of Endinburgh pernah mengunjungi Istana Besar ini pada tahun 1867.

Pada awal tahun 1990an, Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar telah memutuskan bahawa orang ramai sepatutnya diberi peluang untuk melihat Koleksi Keluarga Diraja di dalam muzium yang sempurna dan tersusun. Baginda juga telah menitahkan agar Istana Besar ditukarkan menjadi muzium dan pada masa yang sama masih digunakan untuk Majlis-majlis Keraian dan Adat istiadat Diraja Johor. Dengan itu, Baginda telah mengisytiharkan dengan rasminya pembukaan Muzium Diraja Sultan Abu Bakar pada 11 Mei 1990.

Di dalam muzium ini, tersimpan pelbagai khazanah berharga keluarga Di raja Johor termasuk hasil seni, kelengkapan, peralatan adat istiadat, senjata rasmi, pingat dan darjah kebesaran serta koleksi perhiasan yang diperbuat dari emas, perak dan belian.

Yuran Masuk

  • Warganegara Malaysia ~ RM5.00 (orang dewasa), RM1.00 (kanak-kanak bawah 12 tahun dan pelajar sekolah)
  • Bukan warganegara Malaysia ~ USD7.00 (orang dewasa). USD3.00 (kanak-kanak bawah 12)

Waktu Lawatan
Hari Isnin-Khamis : 9.00am ~ 5.00pm
Hujung Minggu dan Cuti Am : 9.00am ~ 5.00pm
Hari Jumaat : Tutup

Masjid Abu Bakar

Masjid Abu Bakar

Info

Masjid Abu Bakar merupakan masjid utama Negeri Johor di mana mampu menempatkan 2000 orang dalam satu masa. Lokasinya adalah amat strategik di atas bukit di Jalan Sultan Abu Bakar dan menghadap Selat Tebrau.

Pembinaan masjid ini telah memakan masa selama 8 tahun (1893-1900) dengan kos perbelanjaan sebanyak RM400,000. Seorang jurutera tempatan telah diberi kepercayaan dalam menjayakan projek pembinaan masjid tersebut iaitu Datuk Yahaya Awaludin dengan pengawasan kerja oleh Batwip Mohd. Arif.

Senibina masjid ini adalah gabungan senibina Islam dan Barat Neo-Klasik. Ianya mempunyai 4 buah anjung dan setiap anjung mempunyai menara kubah.

Sesungguhnya, Masjid Abu Bakar merupakan salah sebuah bangunan yang telah disenaraikan oleh Jabatan Muzium dan Antik sebagai nilai warisan yang dilindungi.


Panduan:

Masjid ini terletak di Jalan Sultan Abu Bakar bersebelahan Komplek Islam Johor.

Bangunan Sultan Ibrahim

Info

Bangunan Sultan Ibrahim merupakan Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di mana menempatkan Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Johor. Pembinaannya dicetuskan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim bagi melambangkan keagungan Kerajaan Negeri Johor yang sedang berkembang dan makmur.

Pada tahun 1937, Kerajaan Johor telah mempersetujui agar pembinaan bangunan Sultan Ibrahim adalah berdasarkan pelan dan rekabentuk yang dihasilkan oleh Syarikat Palmer dan Turner. Senibina yang dihasilkan itu adalah gabungan senibina Melayu Johor, Islam dan Kolonial. Sekali gus, upacara pecah tanah telah dilakukan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota pada 7hb November 1938.

Bangunan yang telah menelan belanja RM2,000,000.00 ini telah siap sepenuhnya pada tahun 1942. Luas kawasan adalah 68,000 meter². Satu Majlis Jamuan Makan Malam di Istana Besar telah diadakan pada 3hb November 1942 bagi meraikan pembukaan pejabat di Bukit Timbalan.

Sehingga kini, bangunan ini masih lagi tersegam indah dan dikagumi.

Sejarah Penubuhan Johor

Asal usul perkataan Johor diambil dari perkataan Arab “Jauhar” yang bermaksud “Permata Berharga”. Pengaruh Arab jelas kelihatan di mana para pedagang dari Arab telah datang ke sini bagi menjalankan perniagaan rempah yang sememangnya terkenal pada suatu ketika dahulu. Johor juga dikenali sebagai Hujung Tanah atau “Gangganu” oleh orang-orang Siam yang bermaksud “Batu Permata”.

Pembukaan negeri Johor bermula pada awal kurun ke-16 apabila Melaka telah ditawan oleh Portugis. Sultan Mahmud Syah yang merupakan pewaris terakhir takhta kerajaan Melaka telah melarikan diri dan membuka kerajaan Johor. Pada waktu itu, Johor telah meluaskan empayarnya sehingga ke Riau.

Sejarah Johor moden bermula di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar. Baginda telah ditabalkan menjadi sultan pada tahun 1866 seterusnya memegang gelaran “Seri Maharaja Johor”. Sultan Abu Bakar telah memperkenalkan Perlembagaan Johor seterusnya membawa perubahan dalam pentadbiran negeri Johor yang lebih efisyen. Perpindahan pusat pentadbiran kerajaan Johor di Teluk Belanga ke Tanjung Puteri pada tahun 1841 memberi kesan yang positif kepada Johor terutamanya dari segi pembangunan. Pembinaan bangunan kerajaan, balai polis, masjid, mahkamah dan istana besar jelas membuktikan Sultan Abu Bakar berhak menerima gelaran sebagai “Bapa Pembangunan Johor”.

Kini, Johor yang disempadani oleh Melaka, Pahang dan Singapura merupakan salah sebuah negeri yang pesat membangun dan maju di Malaysia.

SEJARAH KESULTANAN NEGERI JOHOR DARUL TA'ZIM Part 3

Sultan Johor IX - Sultan Ibrahim Shah
(Raja Ibrahim / Putera Raja Bajau / 1677-1685)

Sultan Ibrahim Shah merupakan anak Sultan Abdul Jalil Shah III dilantik sebagai Sultan di Pahang pada 1677. Pada 1678, laksamana Tun Abdul Jamil mengajak Sultan Ibrahim Shah berpindah dari Pahang ke Riau. Sultan Ibrahim Shah cuba untuk membina semula Kota Johor Lama tetapi tidak kesampaian. Sultan Ibrahim Shah mangkat di Pulau Riau pada 1685 disebut " Marhum Bongsu".


Sultan Johor X - Sultan Mahmud Shah II
(Raja Mahmud / 1685-1699)

Sultan Mahmud Shah II ditabalkan menjadi sultan ketika berumur 10 tahun. Urusan pentadbiran dijalankan oleh Bendahara. Pusat pemerintahan berada di Kota Tinggi dan Johor Lama dijadikan istana hinggap. Di sinilah Temenggung menjaga Kota Johor Lama. Sultan Mahmud Shah II dikaitkan dengan kezaliman dan menimbulkan pergolakan dalam negeri. Pada tahun 1697, Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid meninggal dunia dan disebut "Marhum Padang Saujana". Pada 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat pada usia 24 tahun, dipercayai ditikam oleh Laksamana Bentan dan disebut sebagai "Marhum Mangkat Di Julang" atau "Marhum Kota Tinggi".


Sultan Johor XI - Sultan Abdul Jalil IV
(Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil / 1699-1720)

Sultan Abdul Jalil IV ditabalkan sebagai Sultan kerana Sultan Mahmud Shah II tiada meninggalkan waris. Sultan Abdul Jalil IV merupakan sultan pertama dari keturunan Bendahara. Selepas bergelar Sultan Abdul Jalil IV, baginda menukar pusat pemerintahan ke Panchor pada tahun 1700. Pada tahun 1702, Istana di Bukit Tukul terbakar. Pada tahun 1708, Sultan Abdul Jalil IV berpindah ke Riau dan menjadikan pusat pemerintahan kerajaan Johor. Pada tahun 1716, Sultan Abdul Jalil IV berpindah ke tanah besar Johor dan bersemayam di Panchor. Sultan Abdul Jalil IV mempunyai istana di Makam Tauhid dan Johor Lama. Kota Johor Lama dibaiki dan digelar "Kota Lama". Sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Jalil IV, keadaan agak kucar-kacir kerana pembesar-pembesar kerajaan bersikap tamak, khianat dan cemburu ini memberi peluang kepada Raja Kecil menyerang Johor. Pada tahun 1717, Raja Kecil dan askar dari Siak (Minangkabau) menyerang Johor. Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil menawan Panchor. Raja Kecil melantik sendiri dirinya sebagai Yang di Pertuan Johor bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah, pun begitu masih membenarkan Sultan Abd Jalil IV menetap di Johor tetapi tiada kuasa memerintah. Kemenangan Raja Kecil adalah atas bantuan pembesar Johor sendiri kerana yakin Raja Kecil adalah pewaris sultan. Raja Kecil menitahkan Laksamana Nakhoda Sekam ke Kuala Pahang membunuh Sultan Abdul Jalil IV dan disebut "Marhum Mangkat di Kuala Pahang".

(Sumber: Muzium Kota Tinggi)

SEJARAH KESULTANAN NEGERI JOHOR DARUL TA'ZIM Part 2

Sultan Johor IV - Sultan Abd Jalil Shah I
(Raja Abdul Jalil / 1570/ 1571)

Sultan Abdul Jalil Shah I adalah anak saudara kepada Sultan Muzaffar Shah II. Ketika berusia 8 tahun baginda telah ditabalkan sebagai Sultan, melalui wasiat Sultan Muzaffar Shah II. Sultan Abdul Jalil Shah I mangkat tiba-tiba dipercayai mungkin diracun. Bendahara Tun Isap Misai (pembesar sultan) meninggal dan dikebumikan di Seluyut.


Sultan Johor V - Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II
(Raja Umar / 1570/71 - 1597)

Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berasal dari Pahang, suami kepada Raja Fatimah (adik Sultan Muzaffar Shah II, bapa kepada Sultan Abdul Jalil Shah I). Pada asalnya pembesar ingin melantik Raja Abdullah, anak Sultan Muzaffar Shah II, tetapi dibantah oleh Raja Fatimah dan mahukan suaminya dilantik sebagai Sultan. Tun Sri Lanang dilantik sebagai Bendahara. Pada tahun 1571, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berpindah ke Tanah Putih selama dua tahun. Pada tahun 1573, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berpindah ke Johor Lama dan membaik pulih semula kota Johor Lama. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II bersahabat semula dengan Acheh (Acheh bergabung dengan Johor menentang Portugis). Pada tahun 1576 dan 1578 Portugis menyerang Johor Lama tetapi ditewaskan. Januari 1573, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II menyerang Melaka dan hampir dapat menawan semula Melaka. Pada 21 Julai 1587, angkatan Portugis yang diketuai Antonio de Noronha ke Johor membedil Kota Johor lama dan merampas harta. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berundur ke Batu Sawar pada tahun 1587. Pada tahun 1589, Batu Sawar diserang dan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II melarikan diri. Apabila Portugis balik ke Melaka, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II datang semula ke Batu Sawar memulihkan kekuatan. Pada tahun 1596, Raja Fatimah mangkat, dan dikebumikan di Seluyut sebelah anaknya Sultan Abdul Jalil Shah I dan abangnya Sultan Muzaffar Shah II. Pada tahun 1597, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II mangkat di Batu Sawar dan disebut "Marhum Batu Sawar".

Sultan Johor VI - Sultan Alauddin Riayat Shah III
(Raja Mansur / 1597-1615)

Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Batu Sawar. Pemerintahan diserah kepada sepupu / saudara (berlainan ibu) Raja Abdullah dengan gelaran "Yang Di Pertuan Hilir" di Kota Seberang bertentangan Batu Sawar. Pelbagai bangsa datang ke Batu Sawar menjadikan ia masyhur. Sultan Alauddin Riayat Shah III mengadakan hubungan baik dengan Belanda serta membenarkan Belanda meletakkan pegawainya di Batu Sawar. Selama 11 tahun Sultan Alauddin Riayat Shah III berpindah ke Pasir Raja, tetapi Batu Sawar masih berfungsi sebagai pusat pemerintahan. Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Pasir Raja dengan bendahara Tun Sri Lanang. Pada tahun 1610, Sultan Alauddin Riayat Shah III berbaik dengan Portugis menyebabkan Acheh berasa marah sewaktu dibawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Jun 1613, Acheh telah menyerang Johor hingga berlarutan selama dua bulan, namun Johor telah ditewaskan. Sultan Alauddin Riayat Shah III, Raja Abdullah, Tun Seri Lanang, pembesar dan dua puluh orang Belanda ditawan serta dibawa ke Acheh. Kemudian kedua-dua belah pihak membuat perdamaian dan Sultan Alauddin Riayat Shah III bersama tahanan dibenarkan pulang ke Johor. Tetapi Sultan Alauddin Riayat Shah III tetap meneruskan hubungan dengan Portugis dan Belanda, tindakan ini menimbulkan kemarahan pemerintah Acheh lalu Sultan Alauddin Riayat Shah III ditangkap, dan dibawa semula ke Acheh dan dihukum bunuh. Pada 1615, Sultan Alauddin Riayat Shah III mangkat di Acheh.


Sultan Johor VII - Sultan Abdullah Ma'ayat Shah
(Raja Mansur / 1615 -1623)

Sultan Abdullah Ma'ayat Shah diangkat oleh Sultan Acheh sebagai Sultan Abdullah Ma'ayat Shah dan bersemayam di Batu Sawar. Pada tahun 1618, Sultan Abdullah Ma'ayat Shah berpindah ke Lingga (Daik) dengan meminta bantuan Belanda dan Orang Laut melawan Acheh. Pada tahun 1623, Acheh menyerang Pulau Lingga untuk memburu Raja Bujang (anak Sultan Alauddin Riayat Shah III). Sultan Abdullah Ma'ayat Shah melarikan diri bersama-sama Raja Bujang ke Pulau Tambelan. Sultan Abdullah Ma'ayat Shah mangkat di Pulau Tambelan disebut "Marhum Pulau Tambelan".


Sultan Johor VIII - Sultan Abdul Jalil Shah III
(Raja Bujang / 1623-1677)

Sultan Abdul Jalil Shah III merupakan anak saudara Marhum Tambelan, putera Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Pulau Tambelan. Sultan Abdul Jalil Shah III menubuhkan Jemaah Orang Kaya. Pada tahun 1629, ancaman Acheh berkurangan kerana kekalahan teruk kepada Portugis. Pakatan Johor-Belanda berjaya menakluki Melaka pada 14 Januari 1640. Belanda berjaya menakluki Melaka pada Januari 1641, manakala Sultan Acheh, Sultan Iskandar Muda mangkat pada 1636 dan Sultan Iskandar Thani mangkat pada 1641 dan Acheh kemudiannya diperintah oleh Raja Perempuan Ratu Sultanah Tajul Alam. Pada 1641, Sultan Abdul Jalil Shah III datang ke tanah besar Johor iaitu pusat pemerintahan di Makam Tauhid. Selama dua tahun Sultan Abdul Jalil Shah III di Makam Tauhid sebelum berpindah menyeberangi Sungai Damar ke Pasir Raja yang juga dikenali sebagai Batu Sawar pada Oktober 1642. Sultan Abdul Jalil Shah III kekal di Pasir Raja hingga 1673 sebelum bermusuhan dengan Jambi dan meletusnya perang antara Jambi-Johor. Sultan Abdul Jalil Shah III melarikan diri ke Pahang dan bersemayam di Pahang selama empat tahun dan mangkat di Kuala Pahang disebut "Marhum Mangkat di Pahang @ Marhum Besar".

SEJARAH KESULTANAN NEGERI JOHOR DARUL TA'ZIM Part 1

Sultan Johor I - Sultan Mahmud Shah I (1511-1528)

Pada 15 Ogos 1511, Melaka telah diserang oleh Portugis lalu baginda Sultan Mahmud Shah I melarikan diri ke Bertam, Batu Hampar, Pagoh seterusnya ke Pahang, Bentan dan akhir sekali Kampar. Baginda mangkat di Kampar pada tahun 1528 disebut "Marhum Kampar"


Sultan Johor II - Sultan Alauddin Riayat Shah II
(Raja Ali / Raja Alauddin / 1528-1564)

Sultan Alauddin Riayat Shah II telah pergi ke Pahang menemui Sultan Mahmud Shah ( Sultan Pahang 5). Baginda telah memperisterikan Puteri Kesuma Dewi (anak marhum Sultan Mansur Shah - Sultan Pahang 4 ). Pada tahun 1529, baginda ke Hujung Tanah dan membuka Pekan Tua (Kota Kara). Pada tahun 1535, seramai 400 askar Portugis yang diketuai Estavao Da Gamma telah menyerang Johor. Baginda melarikan diri ke hulu iaitu Rebat, Sayong. Seri Nara Diraja (pembesar sultan) kemudiannya meninggal di Sayong disebut "Datuk Nisan Besar" . Susulan peristiwa itu Sultan Muzaffar Shah (Sultan Pahang 6) telah datang ke Sayong. Bagaimanapun pada tahun 1536, Estavao Da Gamma telah menyerang Kota Kara kerana adiknya Paulo Da Gamma dan 30 orang Portugis telah dibunuh oleh orang Melayu. Justeru itu, satu perdamaian telah dimetrai antara kedua-dua belah pihak. Pada tahun 1540, Sultan Alauddin Riayat Shah II berpindah dan membuka Johor Lama. Baginda telah pergi ke Aru bagi membantu Ratu Aru dari ancaman Acheh. Pada tahun 1564, Sultan Acheh Sultan Alauddin al-Qahar mengalahkan Aru dan manghalau orang-orang Johor. Kemudian Sultan Acheh telah menyerang Johor Lama dari Aru. Sultan Alauddin Riayat Shah II ditawan dan dibawa ke Acheh dan dibunuh disana disebut "Marhum Syahid di Acheh".


Sultan Johor III - Sultan Muzaffar Shah II
(Raja Muzafar / Radin Bahar / 1564-1570)

Sultan Muzaffar Shah II bersemayam di Johor Lama sebelum berpindah ke Seluyut pada tahun 1565. Baginda tidak suka Johor tunduk kepada Acheh. Pada tahun 1568, baginda menghantar tentera membantu Portugis sekaligus mengundang kemarahan Acheh. Pada tahun 1570, baginda mengkat di Seluyut disebut "Marhum Mangkat di Seluyut".


Sultan Johor IV - Sultan Abd Jalil Shah I
(Raja Abdul Jalil / 1570/ 1571)

Sultan Abdul Jalil Shah I adalah anak saudara kepada Sultan Muzaffar Shah II. Ketika berusia 8 tahun baginda telah ditabalkan sebagai Sultan, melalui wasiat Sultan Muzaffar Shah II. Sultan Abdul Jalil Shah I mangkat tiba-tiba dipercayai mungkin diracun. Bendahara Tun Isap Misai (pembesar sultan) meninggal dan dikebumikan di Seluyut.

SELAMAT DATANG KE KOMUNITI BLOGGER JOHOR BAHRU

Assalamualaikum
kepada semua blogger amnya & blogger johor Khasnya..

Alhamdulillah ...
Bersyukur saya kehadrat ilahi cz diberi idea tuk mengumpul blogger2 dari johor khasnya.. jgn salah anggap lak ye .. yg bukan dr johor pun bo cz akan ada banyak info dan cerita org2 di johor.

Tujuan Komuniti ini diwujudkan adalah :

- ingin mengeratkan lagi silaturahim sesama umat.
- berkongsi setiap kelebihan & keindahan yang ade di johor bahru.
- Dapat berkongsi info dan cerita yang bo dibanggakan.

Apa yang penting kita juga dapat menjaga ukhwah sesama kita semua. Meskipun tidak pernah bersua, namum kita tetap warganegara malaysia.

Harapan saya, agar mendapat sambutan yg membina dari rakan2 blogger yang lain. Marilah bergabung bersama Komuniti Blogger di Johor Bahru. Mungkin satu hari nanti semua Komuniti seluruh malaysia bo bergabung. Demi kebaikan.
Amin....